Alih cara kepada IBS

CIDB IBS
2 min readOct 28, 2020

--

Kredit: MyMetro

Kuala Lumpur: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menyeru semua pemain industri supaya mula beralih secara beransur-ansur kepada Sistem Binaan Berindustri (IBS) kerana ia mampu mewujudkan proses kerja pembinaan lebih cekap, pantas dan menjimatkan.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, penggunaan IBS bukan lagi perkara baru di negara ini namun penggunaannya masih rendah kerana pemain industri lebih berminat dengan kaedah lama.

Menurutnya, sistem itu dapat mewujudkan tapak pembinaan yang bersih dan lebih selamat kepada pekerja buruh kerana komponen IBS akan dibina di kilang terlebih dahulu sebelum kerja pemasangan dilakukan.

“Kami harap pemain industri menggunakan IBS kerana ia juga mampu menjimatkan hampir 50 peratus penggunaan pekerja atau buruh,” katanya.

Kerajaan sebelum ini menetapkan tempoh tiga tahun kepada pemaju swasta untuk mempersiapkan dan memperkemaskan kembali operasi syarikat supaya mengguna pakai sistem IBS.

Malah, langkah meletakkan IBS sebagai syarat mandatori kepada mereka yang berkaitan menjelang 2020 tepat pada masanya dengan tempoh peralihan yang wajar.

Beliau berkata, sektor pembinaan mampu mencapai lonjakan daripada segenap aspek jika IBS dilaksanakan secara menyeluruh oleh pemain industri yang terdiri daripada pemaju hartanah dan kontraktor pembinaan.

“Buat masa ini, kami melihat banyak syarikat mula ke arah sistem ini namun diharapkan jumlah itu meningkat khususnya dari pemain industri bagi projek swasta,” katanya.

Mengulas mengenai pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermula pada 1 September depan, Ahmad Asri berkata pihaknya menjangkakan sektor terbabit akan menerima kesan yang kurang berbanding rejim cukai sebelum ini.

Menurutnya, jika dilihat daripada pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), ia dikenakan pada setiap peringkat berkaitan manakala SST adalah sebaliknya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan masih perlu melaksanakan kajian menyeluruh dan terperinci bersama pemain industri bagi mewujudkan perkembangan sektor pembinaan yang cekap dan memberi manfaat kepada semua pihak.

MyMetro | 1 September 2018

--

--

CIDB IBS
CIDB IBS

Written by CIDB IBS

A new venture providing services to support the government and industry players in addressing the implementation of IBS initiatives under Construction Industry.

No responses yet