CIDB, MARA jalin persefahaman lahir vendor IBS Bumiputera

CIDB IBS
2 min readNov 2, 2021

--

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof (kiri) bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid (kanan) menyaksikan pertukaran MoU di antara Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid (dua dari kiri) dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf. — NSTP/AIZUDDIN SAAD

KUALA LUMPUR: Lapan vendor Bumiputera Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang mempunyai kapasiti sebagai pengeluar, kontraktor dan pemasang Sistem Binaan Berindustri (IBS), dijangka dapat dilahirkan dalam tempoh tiga tahun.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata sasaran itu selari matlamat ke arah meningkatkan keupayaan dan kemampanan kontraktor Bumiputera supaya lebih berdaya saing dalam industri pembinaan.

“Aspek lain yang akan turut diterapkan bagi pembangunan vendor dalam kalangan Bumiputera ialah revolusi pembinaan 4.0 (CR4.0) demi memacu pelaksanaan ekonomi digital,” katanya pada majlis pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) MARA bersama rakan strategik, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), di sini hari ini.

Mewakili MARA ialah Ketua Pengarahnya, Datuk Azhar Abdul Manaf, manakala CIDB diwakili Ketua Eksekutif, Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid. MoU bagi tempoh tiga tahun sehingga 2024 itu sebagai insiatif bersama dalam meningkatkan keupayaan serta kemampanan kontraktor Bumiputera supaya lebih berdaya saing dalam industri pembinaan.

Turut diadakan pada majlis berkenaan adalah perjanjian MoU di antara MARA Corporation dan TalentCorp Malaysia. Hadir sama, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Fadillah berkata, tempoh MoU berkenaan adalah selama tiga tahun, manakala program pembangunan vendor mencakupi matlamat ke arah melahirkan pengeluar sistem IBS, kepakaran pemasangan dan sebagainya.

“IBS dipilih kerana ia sistem yang cekap dan bersih dalam konteks pembinaan, malah kebergantungan terhadap pekerja kurang mahir akan menyusut. Justeru, menerusi kerjasama dengan MARA, kita kena melatih dan memastikan pekerja separa mahir dan mahir yang dapat gunakan kaedah IBS, berupaya dilahirkan.

“Ini bukan sekadar mampu meningkatkan kecekapan dan kelestarian sektor pembinaan, tetapi diharap berupaya meningkatkan pendapatan mereka yang terbabit dalam industri IBS, termasuk penggiat serta kontraktor Bumiputera,” katanya.

Menerusi pelbagai inisiatif yang giat dilaksanakan, Fadillah berkata, Malaysia ketika ini mempunyai 187 pengeluar IBS berdaftar dan 42 daripada syarikat itu terdiri daripada kontraktor Bumiputera.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan bertekad untuk melahirkan lebih ramai pengeluar IBS dalam kalangan Bumiputera supaya industri berkenaan kekal berdaya saing.

Sementara itu, Mahdzir berkata, bagi menyokong kelangsungan kontraktor Bumiputera, MARA menambah baik kemudahan pembiayaan perniagaan dengan menyediakan skim kemudahan pembiayaan khas.

“Dua skim ditawarkan, iaitu Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE) dan Skim Usahawan MARA bagi membantu meningkatkan daya saing kontraktor Bumiputera,” katanya.

RESOURCES: Berita Harian Online

--

--

CIDB IBS

A new venture providing services to support the government and industry players in addressing the implementation of IBS initiatives under Construction Industry.