Galak guna IBS

CIDB IBS
2 min readDec 20, 2020

--

Kredit: MyMetro

Kuala Lumpur: Sektor pembinaan antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia sejak sekian lama dan untuk memperkukuhkan sektor berkenaan, kerajaan menggalakkan penggunaan Sistem Bangunan Berindustri (IBS) bagi meningkatkan kecekapan kontraktor.

Teknologi yang turut dikenali sebagai pembinaan pasang siap bukan perkara baru kerana teknologi itu digunakan secara meluas di negara maju seperti Finland, Sweden, Jepun, Jerman dan Singapura, sekali gus memesatkan proses modenisasi serta menambah baik sektor pembinaan.

Malah, langkah kerajaan menyediakan dana IBS RM500 juta menerusi SME Bank dilihat sebagai inisiatif strategik ketika ini yang dapat membantu merangsang lebih ramai pengeluar sistem itu pada masa akan datang.

Bagaimanapun, pembabitan kontraktor tempatan dalam mengaplikasikan teknologi, mahupun sistem IBS masih di paras yang rendah khususnya pemaju daripada sektor swasta.

Pengurus Besar IBS & Mekanisasi, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Ir Noraini Bahri berkata, projek swasta adalah penyumbang terbesar bagi sektor pembinaan negara iaitu 83 peratus mengikut kategori perumahan, bukan perumahan dan infrastruktur.

Katanya, mengikut kajian CIDB iaitu Kajian Penggunaan IBS dalam Projek Kerajaan dan Swasta pada tahun 2014 menunjukkan penggunaan IBS oleh pemaju projek swasta masih rendah iaitu 14 peratus.

“Situasi ini terjadi disebabkan tiada polisi atau perundangan khusus mewajibkan penggunaan sistem IBS dalam setiap projek dijalankan pemaju.

“Peratusan tahap pengunaan IBS bagi projek swasta dikira berdasarkan kepada kajian persampelan yang dibuat pada tahun 2014.

“Bagi projek kerajaan, penggunaan IBS diwajibkan menerusi arahan pematuhan pekeliling untuk pelaksanaan 70 peratus, di mana semua kementerian perlu mengaplikasikannya dalam pembinaan bangunan,” katanya.

IBS mula diperkenalkan dalam industri pembinaan negara sekian lama iaitu bermula dengan projek perumahan Flat Pekeliling, Kuala Lumpur dan Flat Rifle Range Road atau Jalan Padang Tembak, Pulau Pinang pada 1966 dengan matlamat meningkatkan kualiti bangunan dan kerja, mengurangkan penggunaan buruh asing di tapak projek serta mempercepatkan kerja pembinaan.

Ketika ini, terdapat lima jenis IBS yang digunakan secara meluas di Malaysia iaitu kaedah pasang siap, panel dan sistem kekotak, kaedah acuan keluli, kaedah kerangka keluli, kaedah kerangka kayu dan kaedah kerja blok.

Menurut Noraini, dalam memperkasakan lagi IBS, pihaknya turut melaksanakan Program Pendaftaran Pengeluar IBS bagi menggalakkan pendaftaran syarikat pengeluar komponen IBS di seluruh negara.

“Berdasarkan data CIDB sehingga Disember 2016, kita merekodkan 227 pengeluar komponen IBS dan ia dijangka akan terus meningkat 100 pengeluar IBS yang baru menjelang 2020.

“Apabila jumlah pengeluar komponen meningkat, ia sekali gus akan merangsang penawaran dan permintaan bagi penggunaan kaedah IBS dalam sektor pembinaan dan mewujudkan ekosistem yang seimbang dan lebih mampan,” katanya.

MyMetro | 25 Februari 2017

--

--

CIDB IBS
CIDB IBS

Written by CIDB IBS

A new venture providing services to support the government and industry players in addressing the implementation of IBS initiatives under Construction Industry.

No responses yet