KUALA LUMPUR: Kerajaan mencadangkan penggunaan Sistem Binaan Industri (IBS) dijadikan satu daripada terma mandatori dalam kontrak projek pembinaan bangunan awam oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata langkah itu akan menyaksikan semua permohonan projek pembinaan bangunan awam perlu mengikut kepatuhan IBS.
Katanya, jika ia berjaya dilaksanakan, lama-kelamaan peserta industri akan mula menggunakan sistem berkenaan.
“Kerajaan perlu memastikan industri pembinaan mula berubah ke arah penggunaan teknologi yang lebih canggih bagi memastikan pemainnya kekal kompetitif.
“Industri pembinaan sudah berubah daripada cara konvensional kepada teknologi terkini seperti IBS.
“Justeru, kita perlu melatih pekerja dan profesional yang terbabit dalam bidang berkenaan supaya mempunyai cara pemikiran dan cara kerja yang baharu,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) 2018 dengan tema “Mencapai Kemuncak Produktiviti” di sini, hari ini.
Pameran ICW yang diadakan buat kali ke-18 itu berlangsung dari 26 Mac hingga 30 Mac ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Seramai lebih 100 pempamer dari dalam dan luar negara mengambil bahagian dalam pameran yang dijangka menarik kunjungan 10,000 pengunjung itu.
Antara aktiviti menarik yang disediakan termasuklah pameran, seminar dan perbincangan mengenai penggunaan IBS, Model Maklumat Pembinaan (BIM), pendekatan rekaan inovatif, sumber tenaga dan sebagainya.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata kerajaan juga mempertimbangkan untuk memberikan bantuan insentif kepada syarikat pembinaan kecil bagi melaksanakan penggunaan IBS.
“Namun yang paling penting adalah untuk mencipta jumlah penggunaan yang lebih banyak terlebih dulu.
“Ini kerana apabila jumlah penggunaan meningkat, ia akan membantu mengurangkan kos,” katanya.
Sumber: Berita Harian