Sistem Bangunan Berindustri (IBS) antara teknologi yang menarik dan satu kelebihan buat anda yang mempunyai kediaman di atas tanah sendiri.
Pemilik dan arkitek Tri-Tunas Sdn Bhd, Fajar Mohd Mosleh, 39, berpendapat pembinaan rumah di atas tanah sendiri bukan saja menentukan pilihan reka bentuk, malah turut membabitkan pilihan bahan.
Anak kelahiran Sabak Bernam, Selangor ini percaya dengan kualiti (IBS) yang diketengahkan Kemuning Structures Sdn Bhd (K-Structures).
Ia dikenali Kstr IBS Building System yang mengaplikasikan sistem rangka keluli.
“Saya mula mengikut perkembangan IBS terutama sistem rangka keluli sejak tahun 2006.
“Keunikan sistem IBS mendorong saya meninjau rujukan dari dalam dan luar negara. Dari situ dapat dilihat IBS sebenarnya satu sistem yang baik dan berkualiti,” katanya.
Beliau berkata penghasilan rangka keluli ini memerlukan mesin khas dan akhirnya yakin dengan kelebihan Kstr IBS Building System keluaran K-Structures.
“Selain teknologi baru, sistem ini juga sebenarnya mengurangkan kos, tapi dalam masa sama tidak mengabaikan kualiti pembinaan.
“Selepas menggunakan sistem ini saya mendapati jangka masa pembinaan menjadi lebih singkat. Rumah boleh siap sepenuhnya dan diduduki sekitar tiga bulan,” katanya yang tidak menafikan penggunaan IBS turut memberi kesan kepada tenaga kerja iaitu pengurangan yang sangat ketara,” katanya.
Malah, pembinaan menggunakan rangka keluli ini menawarkan beberapa pilihan mengikut bajet pemilik dan ia boleh dikurangkan hingga 30 peratus sekiranya menggunakan gentian kapas sebagai penebat.
Antara projek terkini yang dijalankan Fajar dan hampir siap adalah pembinaan rumah banglo satu tingkat berkeluasan 2,100 kaki persegi di Ampang.
Fajar berkata, proses membina rumah menggunakan rangka keluli bermula dengan melukis rekaan untuk dicadangkan kepada pemilik.
“Pertama adalah menghasilkan rekaan melalui lukisan yang dipanggil ‘lukisan arkitek’ mengikut permintaan.
“Selepas mendapat persetujuan, lukisan akhir kemudian dihantar ke kilang untuk rujukan bagi mengeluarkan reka bentuk rangka keluli,” katanya.
Rangka keluli yang sudah siap itu seterusnya dibawa ke tapak pembinaan untuk dipasang bagi memulakan proses pembinaan sebenar.
Sementara rangka keluli disiapkan di kilang, asas rakit atau tapak konkrit dipadatkan dalam masa yang sama. Ini dilakukan supaya rangka keluli dapat didirikan di atas asas rakit berkenaan sejurus ia sudah siap tanpa mengambil masa yang lama.
Selepas keseluruhan rangka keluli diletakkan di atas tapak berkenaan, kerja mengukur setiap penjuru rumah supaya menepati ukuran 90 darjah dilakukan.
“Kemudian barulah saya pasang kuda-kuda atau penahan yang turut diperbuat daripada bahan besi. Ia berfungsi sebagai penahan sebelum saya boleh meletakkan atap dan genting pada bahagian atas.
“Selesai semua, saya letakkan papan simen setebal sembilan milimeter di bahagian luar rumah,” katanya.
Kerja pembinaan diteruskan dengan memasukkan gentian kapas sebagai penebat ke dalam ruang tengah sebelum memasang saluran elektrik dan paip air.
Fasa akhir pembinaan rumah dengan IBS itu adalah mengecat dan memasang tingkap.
Maklumat lanjut kunjungi Tri-Tunas yang terletak di 20–1, Jalan Sbbc 8, Sungai Besar Business Center, Sungai Besar.
— MyMetro | 21 Jan 2017